Melodi Kami

“Jadi doktor bahagian apa?”

.

“Bahagian bius.”

.

Terlihat wajah kelat mereka. “Tak apalah, saya tak nak kena bius.”

.

Bukan sedikit saya berbicara seperti itu dengan rakan-rakan yang bukan doktor. Memang, bahagian anestesi tidaklah patient friendly. Dalam erti kata lain, kami tidak berhubung terus dengan pesakit. Ketika pesakit diberi kepada kami, mereka sudah ‘tidur’, kalau tidakpun, mereka akan ditidurkan seketika nanti. Ketika pesakit dikembalikan ke wad, mereka belum bangun, ataupun baru sahaja dibangunkan. Nak berkenal-kenalan dengan kami, memang tak dapatlah.

.

Ketika saya oncall baru-baru ini, saya menerima referral atau rujukan dari bahagian perubatan untuk seorang pesakit yang baru dimasukkan tiub ke dalam paru-paru, minta ventilator support kata mereka. Sewaktu pergi memeriksa pesakit tersebut di wad, saya dapati pesakitnya memang tenat, tapi masih ada harapan untuk sembuh. Jadi saya minta pesakit itu dimasukkan ke ICU. Saat itu rakan sekerja saya yang oncall bersama saya merungut sedikit.

.

“Kau jangan baik sangat. Kerja kita dekat anesthesi ni bersihkan kotoran orang je.” (Bahasanya sudah dilembutkan agar sesuai dibaca semua lapisan masyarakat)

.

Ramai orang tanya, kenapa bekerja di bahagian anestesi kalau saya memang tidak berniat menyambung kepakaran dalam bidang tersebut? Saya mempunyai pandangan berbeza tentang ini.

.

Zahirnya memang parah merawat pesakit di anestesi. Semua pesakit yang cukup rumit untuk diperbetulkan fungsi badannya. Perlukan air yang banyak, tapi tak boleh terlalu banyak. Perlukan bantuan pernafasan, tapi tak boleh bernafas sendiri. Macam-macam dilema yang rasanya hampir pecah kepala difikirkan penyelesaiannya.

.

Sewaktu masih di bangku pengajian, saya pernah berfikir bahawa bahagian yang paling banyak menghadapi kes-kes kecemasan pastilah emergency department (ED). Sudah namanya ‘emergency’, pastilah menguruskan kes kecemasan. Tapi setelah terjun ke bidang perubatan secara zahiriah, saya menyedari yang paling banyak menguruskan kes kecemasan adalah bahagian anestesi. ED lebih menjurus kepada first liner. Mereka menguruskan beberapa urusan pertama sahaja sebelum menyerahkan pesakit tersebut kepada kami. Seterusnya, anestesilah yang menyelesaikan. Bagaikan relay race, baton tersebut diserahkan kepada kami setelah larian pertama. Kamilah yang berlari menyambung perlawanan itu sebelum mengembalikan baton kepada primary team, itupun setelah hampir memenangi larian tersebut.

.

Satu pengalaman yang menarik perhatian saya ketika saya masih di bahagian paediatrik, ada satu kes kanak-kanak berumur dua tahun tercekik biji catur kecil. Mungkin dimasukkan ke dalam mulut ketika bermain. Ketika anak tersebut menangis, kakaknya memberikan susu untuk diminum. Hasilnya, biji catur tersebut tertolak lebih jauh ke dalam. Saat dihantar ke hospital, anak tersebut sudah biru. Mungkin sudah sekian lama tidak mendapat bekalan oksigen.

.

Saat itu orang yang membantu mengeluarkan anak tersebut dari zon bahaya adalah doktor anestesi. Merekalah yang menggunakan kepakaran mereka untuk mengeluarkan biji catur tersebut, lalu mengambil alih pernafasannya—bukan untuk melawan fitrahnya, tapi untuk mengembalikan peratus oksigen yang sudah tersekat sekian lama.

.

Menyaksikan kejadian itu, saya sudah bertekad, biar apapun bahagian yang akan saya ceburi, saya harus mengambil ilmu dari doktor-doktor anestesi. Saat tidak ada celahan buat doktor lain untuk membantu, doktor anestesi membuka jalan alternatif untuk dilewati.

.

Memang, tidak ada yang senang di anestesi. Semua pesakit mempunyai peratusan yang tinggi untuk berhenti bernafas. Setiap saat, setiap pesakit ada kemungkinan untuk jatuh ke jurang paling bahaya dalam sekelip mata.

.

Ramai yang kata, apa yang anestesi buat? Kerja korang duduk saja kat kaunter, tak ada buat apa.

.

Memang, biar di ICU mahupun dewan bedah, setelah selesai memasukkan tiub pernafasan dan menstabilkan pesakit, kami akan duduk. Bukan tanda malas, tapi kerana setelah selesai kerja-kerja tersebut, yang akan mengambil alih tugas kami adalah deria kami. Mungkin kami terlihat duduk tanpa melakukan apa-apa. Orang kata, doktor anestesi cool and relax. Tapi hakikatnya saat kami duduk, mata, hidung dan telinga kami mula bekerja.

.

Ramai doktor yang tak perasan, setiap bunyi yang berubah dari monitor memberikan tanda yang berbeza. Doktor anestesilah yang akan bertindak saat bunyinya mula terdengar berubah. Sekiranya anda seorang doktor, mungkin anda akan memahami kerumitannya, kerana sungguh, bunyinya tidaklah berbeza mana. Saya sendiri baru mempelajari untuk membezakan antara bunyi-bunyi tersebut setelah menceburkan diri dalam bidang ini.

.

Bunyi monitor, bau gas penidur, bentuk garis-garis yang naik turun di monitor, semuanya adalah tanda bagi kami.

.

Saat itu, deria kami bekerja.

.

Andai tiba saat kami perlu terjun dan berlari menyelamatkan pesakit, kami pasti tidak mensia-siakan satu saatpun. Ketika itulah jasad dikerah mengeluarkan segala tenaga yang ada, minda diasah akan ilmu-ilmu yang tersimpan. Ini adalah lapangan perjuangan kami. Ini adalah melodi tarian kami.

.

Saya yakin, doktor di mana-mana bahagian sekalipun, semuanya pasti mahu menyelamatkan pesakit. Tidak ada doktor yang mahu membunuh pesakit—tak kiralah niatnya kerana mahu membantu pesakit, ataupun mahu menyelamatkan diri sendiri dari masalah medicolegal—tidak ada doktor yang mahu pesakitnya meninggal. Semuanya mahu selamat, maka mereka akan berusaha sedaya mereka untuk menstabilkan pesakit. Tapi tidak semua mampu untuk membawa pesakit keluar dari zon nazak. Maka di situlah anestesi diperlukan.

.

Kata rakan setugas saya “Kerja kita dekat anesthesi ni bersihkan kotoran orang je.”

.

Saya betulkan semula ayat tersebut.

.

Kerja kami di anestesi bukanlah membersihkan kotoran yang dibuat orang lain. Kerja kami memberi harapan setelah doktor lain mencuba sedaya mereka.

.

Betulkan niat, bersangka baiklah dengan rakan-rakan setugas. Hakikat ilham, ilmu dan roh itu urusan Allah. Yang tinggal di tangan doktor hanya usaha dan doa. Andai kedua-duanya juga tidak dikerjakan, apa lagi fungsi seorang doktor?

.

Wallahualam…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s