Doa Hijrah 1431

Hari ini tanggal 1 Muharram 1431…

Hari ini kalendar baru diganti…

Hari ini semangat baru menjalari…

 

Hari ini juga saya berdiri, memandang diriku satu tahun ke belakang. Memang, dalam satu tahun terakhir ini sepanjang melewati tahun 1430 H, saya diuji dengan salah satu ujian yang sangat berat. Sangat berat sampai saya tidak mampu berkongsi bebannya dengan teman-teman, biar siapapun itu. Bukan saya tidak percaya kepada rakan sendiri, hanya saja bibirku tidak mampu bicara. Mindaku tertutup seribu bahasa. Dan lebih buruk lagi, ujian ini menjauhkanku dari sahabatku yang paling bermakna buatku. Sahabat yang sejak kecil menemani dan setia mendengar bahkan membantu; Sang Maha Esa.

 

perjalanan ini masih jauh, maka berlindunglah denganNYA

perjalanan ini masih jauh, jadi berlindunglah denganNYA

 

 

Hati ini tidak pernah tenang sejak awal sampai hampir berganti tahun. Depresi; itulah kata-kata yang paling sesuai menggambarkan diri ini sepanjang tahun 1430 H. Saya bergelut sepanjang tempoh clinical sambil menyalahkan diri. Saya turut menjauhkan diri dari dunia blog dan rakan-rakan universiti. Saya tenggelam dalam dunia sendiri.

 

Bahagia? Yang jelas saya semakin menderita. Ada ketidakpuasan dalam diri. Mata ini terlalu sering menangis, sudah tidak tahu dengan siapa saya mahu mengadu. Dalam kemelut emosi yang tidak sudah itu, saya sempat membuka post-post lama blog sendiri, dan membaca post-post dari blog rakan-rakan. Dan saya lupa, ternyata sahabatku yang paling setia masih menungguku. Bersedia mendengar keluh kesahku tanpa jemu. Lalu saban malam saya bersujud mengadu, saya menangis memanjakan diri pada-NYA. Meminta kekuatan dari-NYA.

 

Alhamdulillah, rupa-rupanya masalah itu tidaklah sebesar mana. Rupa-rupanya emosi itu hanya petanda, bahawa saya dahagakan siraman hidayah dari-NYA. Saya rindu… Tidak kunjung bertemu dengan jawapan sebelum dahi ini bersujud memohon dari-NYA.

 

Tahun ini saya mengambil waktu menyucikan sebentar jiwa yang kegersangan. Memohon rahmat-NYA, mengemis kasih-NYA. Semoga mulai saat ini saya takkan lagi lupa, bahawa sahabatku itu sentiasa memerhatikanku, dan tidak pernah sekalipun meninggalkanku. Agar diriku juga takkan lagi melupakanNYA biar sedetik cuma.

 

Saya hanyalah hamba yang hina, yang penuh kekurangan dan kelemahan. Semoga tiap nafas setelah ini memberikan sebuah kekuatan dan peringatan, bahawa tugasku di bumi ini bukanlah menyalahkan diri atau orang lain. Tapi justeru mengingatkan dan menghambakan diri hanya untuk-NYA.

 

Hari ini hujan membasahi bumi Makassar… Menyambut hari pertama Muharram… Membawa rahmat-NYA ke seluruh hamparan. Memberitahu kami bahawa Dia masih menyayangi kami… Dan saya berdoa, semoga rahmat-NYA terus membasahi bumi ini, agar kami tidak haus akan kasih-NYA. Saya memerhatikan titis-titis hujan yang jatuh, hilang di celah liang tanah. Seolah-olah membawa pergi semua keresahan hatiku.

 

Mungkin DIA merinduiku, jadi DIA kirimkan sekeping surat cinta berupa ujian. Agar saya kembali pada-NYA. Ingatlah, hati… Kerana DIA juga pasti kecewa jika didustai…

 

Ternyata, saya memang tidak mampu meneruskan hidup ini tanpa-NYA…

Ya Allah, akulah yang memerlukanMU, sedang KAU tidak memerlukan apa-apa dariku… Tapi tiap kali juga diriku juga yang menjauh, dan KAU yang kembali mendekatiku… Ya Allah, aku tidak mampu menjalani segalanya tanpaMU… Oleh itu jagalah hatiku, wahai Yang Maha Membolak-balik Hati… Tetapkanlah aku di jalanMU. Aku merayu, mendamba agar KAU memilihku. Walau mungkin tidak mampu semulia orang lain, paling tidak, tetapkanlah aku di sisiMU… Amiin…

 

“… Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” – Surah Ar-Ra’d (13): 28.

 

Selamat memaknai Tahun Baru Hijrah buat semua…

Semoga tahun ini lebih baik dari sebelumnya, lebih mendekatkan kita kepada Yang Maha Esa…

Leave a comment