Posted by: halaa on: June 30, 2008
Bahagian akhir
Selasa, 24 Jun 2008, 8:00 a.m
Setelah 14 jam perjalanan dari Wawondula ke Makassar, kami sampai ke Makassar Town Square, alhamdulillah. Home sweet home~~ Kami sempat berhenti 3 kali sepanjang jalan; di Perhentian Bas Sorowako untuk solat Maghrib dan Isya’, di Malini untuk makan malam, dan di Pekkae untuk solat Subuh. Uniknya bas express yang kami naiki, mereka menyediakan air mineral, biskut dan gula-gula untuk penumpang. Hmm, belum pernah ada di Malaysia.
Sesampai sahaja di Makassar, saya menghidupkan telefon bimbit (selama ini dimatikan sebab tak bawa charger). Berderet SMS masuk dari persatuan-persatuan yang saya ceburi. Hehe… Kerja yang bertambun datang lagi. Kami berlapan menaiki pete-pete (kenderaan awam di sini) kembali ke rumah. Nusaibah mengambil jalan lain kerana rumahnya berjauhan dari kami.
Ah… Sudah pulang, ya. Saya memerhati sekeliling untuk seketika, membawa diri ke alam realiti. Esok kami ada peperiksaan akhir. Rasanya masih belum puas berada di Sorowako. Buat pertama kalinya saya terasa ‘tak mahu balik’. Dalam diam saya berazam untuk kembali dalam rangka berziarah. Hati ini sudah terikat dengan sebuah rasa cinta pada kampung itu.
Dalam program ini, saya menemui pelbagai ragam manusia. Saya mengenali peribadi rakan-rakan Indonesia saya dengan lebih dekat. Yudistira yang suka mengusik, Herlambang yang suka bergurau, kecekapan tangan Amel bekerja, Lia yang peramah, Alfian yang careless di sebalik cool, Alam yang sebenarnya ceroboh. Merekalah rakan seperjuangan yang akan bersama kami membawa perubatan Islam ke persada dunia.

Angkona Team - Dalam Kenangan
Dari ketidakpuasan hati di awal program, menjadi kepuasan tak terhingga di akhirnya. – hanya dengan membetulkan sebuah niat – Alhamdulillah, perjalanan ini tidak sia-sia. Indonesia bukanlah sebuah negara yang maju seperti Malaysia, tetapi mereka memiliki budi dan kasih yang cukup tinggi. Sifat yang sudah semakin pupus dari masyarakat Malaysia. Rasanya malu juga dengan mereka.
Saya singkapkan semua hijab, memberi penghargaan kepada bumi garuda yang membekalkan ilmu yang cukup tinggi buatku. Catatan perjalanan ini saya nukilkan dari kenangan sebuah pengalaman untuk kuberitakan kepada semua; Inilah Indonesia.
NOTE: Tahniah kepada 70 peserta Sorowako Team atas kejayaan menyempurnakan bakti ke atas 350 orang kanak-kanak. Semoga bakti yang sedikit ini mendapat pandangan rahmat dari Allah s.w.t, insyaAllah.
Recent Comments