Posted by: halaa on: June 29, 2008
Isnin, 23 Jun 2008, 6:00 a.m

Di hadapan rumah Dr Rosmini
Setelah solat dan mandi, Dr Rosmini mengajak kami sarapan. Berselera kami makan, siap bungkus lagi. Hehe… Setelah selesai bersiap, pukul 8:00 pagi itu kami menaiki ambulans kembali ke dewan Camat Wasuponda. Akhirnya kami 9 orang mahasiswi Malaysia kembali berkumpul.
Bas yang mengangkut kami belum tiba. Maka kami belajar sebentar di playground di hadapan dewan Camat itu. Belajar? Hehe… Sebenarnya bermain-main la jugak. Gembira juga melihat kanak-kanak yang berlari riang. Mind therapy. Huhuhu…
“Akhirnya dapat juga line telefon di sini. Kat rumah Wadi line Simpati je ada. Kampung giler,” ujar Ainul ketika kami leka membaca nota di tangan.
“Kampung-kampung pun, dah sampai la Sepanyol, Amerika,” saya menyambung disusuli gelak tawa kami semua, mengiyakan.
Setelah beberapa buah kereta Avanza tiba di perkarangan dewan, kami memunggah bagasi masuk ke dalam kereta. Beberapa orang lain turut mengemas dewan yang sudah digunakan. Kemudian semua peserta program Bakti Sosial Sorowako bergambar untuk kenangan.

Dari kiri; Hanis, Ainul, Nusaibah - Di hadapan Dewan Camat Wasuponda
Kali ini kami 9 orang akhirnya melalui sebuah perjalanan dalam sebuah kenderaan yang sama. Kami menaiki Avanza berwarna kelabu gelap menuju rumah H.I, mahasiswi Indonesia yang sekuliah dengan kami. Rumahnya terletak di Desa Wawondula, kira-kira 2 jam dari Sorowako.
“Rumahku kecil saja,” katanya, namun setelah tiba di rumah itu kami terbeliak juga. Besarnya bukan main. Hampir tersesat saya di dalamnya. Kami 9 orang diberikan sebuah bilik untuk berehat dan melayan diri. Aisyah dan Balqis berehat sambil menonton televisyen yang tersedia.
Manakala saya bersama rakan-rakan lain meronda mengelilingi rumah yang cukup mewah itu. Suasana perkampungan sepanjang jalan dan sekitar rumah ini masih indah tidak tercemar. Danau Tuwuni yang tidak bertepi mengindahkan lagi panorama. Di belakang rumah H.I ada beberapa orang sedang bekerja sebagai pembalak, membelah kayu-kayu yang masih tunggul, mencari rezeki yang halal.

Danau Tuwuni yang luas tak bertepi
Tengah hari itu sekali lagi kami disajikan dengan makanan mewah; dua hidangan daging, satu hidangan ayam, dua hidangan sayur. Melantaklah kami mengisi perut. Sambil itu kami berbual dengan Dr Yenny, Dr Ulfa dan Dr Citra. Saya yang berprestasi ketika memberi penyuluhan kepada kanak-kanak menjadi sasaran utama usikan. Maklumlah, kerja kami di sini kan melibatkan anak kecil.
Petang itu kami berehat, ada juga yang sambung meronda rumah itu. Setelah membersihkan diri, kami mengemas bagasi, bersiap-sedia bertolak pulang. Tiba-tiba Atiqah masuk memanggil kami untuk berkumpul bersama urusetia. Huh, ada kejutan lagikah? Sampai ke akhir program ini penuh kejutan.
Di tingkat atas, saya mendengar teliti. Ryzqa sebagai ketua batch menerangkan situasi. Kami ada sedikit masalah pengangkutan menyebabkan urusetia terpaksa menyewa bas lain. Mereka meminta kami menyumbang sedikit wang untuk membantu kesempitan dana urusetia. Namun Ryzqa memberi jaminan wang itu akan dikembalikan 15 hari setelah program kerana mereka akan menerima dana semula.
Hmm… saya datang ke program ini pun free. Apalah salahnya menyumbang sedikit. Lagipun, duit itu akan dikembalikan. Boleh jadi tabungan juga. Hehe… Setelah membayar bahagian saya, kami kembali ke bilik untuk mengangkut bagasi ke atas bas. Saya sempat bersalam dengan H.I dan keluarganya, serta mengucapkan maaf dan terima kasih kepada Alfian.
Jam menunjukkan pukul 6:00 petang. Bas kami mula bergerak, meninggalkan bumi Sorowako.
_____________________________________________________________________
* Bahasa yang digunakan sudah diringkaskan dari loghat Makassar untuk senang difahami.
Recent Comments