Posted by: halaa on: June 28, 2008
Ahad, 22 Jun 2008, 4:00 p.m
Jumlah kanak-kanak yang masih belum disunatkan di Angkona masih sekitar 40 orang.

Shift 1: Bahagian Sterilisasi - Nusaibah dan Zul
“Kamu sudah mau kerja, Fian? Tidak capek (letih)?” saya bersuara risau apabila Alfian menyarung sarung tangan steril dan memanggilku dari bahagian sterilisasi untuk membantu di Meja 5.
“Ndak apa-apa ji. Masih banyak yang belum selesai. Buka meja baru nah,” Alfian memberi arahan. “Baca doa ya, dik. Selawat banyak-banyak,” sambung Alfian, membina keharmonian.
“Kristian, bang,” pendek jawapan anak itu.
“Yah, baca saja apa-apa bacaanmu, dik,” Alfian menelan liur. Terkekek-kekek saya menahan tawa sambil tangan saya mula bekerja.
Di luar hujan renyai turun membasahi bumi. Membawa rahmat untuk pelosok bumi yang gersang, meraikan 350 orang kanak-kanak Sorowako yang disunatkan pada hari itu di empat desa; Mangkutana, Angkona, Wasuponda dan Tampinna. Alhamdulillah, sekitar jam 5:00 petang, tugas kami selesai. Mungkin juga kerana kecekapan Tampinna Team yang telah pulang membantu, kerja jadi cepat.

Capek setelah seharian bekerja
Malam itu kami membersihkan diri dan makan malam seperti biasa sambil beramah mesra. Sempat juga kami mengusik Munawir kerana Meja 4 tempat dia bertugas memecah rekod; meja paling banyak kanak-kanak menarik diri, tak jadi sunat. Meja keramat tu. Hehe…
Beberapa minit kemudian, Aswadi memanggil kami untuk berbicara bagi pihak urusetia. Katanya urusetia di Mangkutana sedang dalam perjalanan ke Angkona untuk mengambil kami. Dan malam ini juga kami harus meninggalkan Angkona dan bersama mereka menuju Wasuponda. Kononnya ada acara ramah mesra seluruh peserta program di situ. Kedengaran beberapa orang merungut kerana kepenatan; malam tadi sudah kekurangan tidur, hari ini pula seharian bekerja.
“Istighfar dulu, Wadi. Saya lihat muka kamu stress sekali,” saya menegur. Aswadi meraup wajah. Sebagai tuan rumah, dia turut menghadapi dilemma sebagai urusetia program. Amel dan Ryzqa menghubungi urusetia di Mangkutana untuk pertimbangan. Akhirnya kami diberi pilihan; kalau mampu kami pergi, kalau tidak larat tinggal saja, namun harus tiba juga di Wasuponda sebelum jam 8:00 pagi esok.
Pelajar lelaki yang mahu pergi akan dihantar oleh abang Aswadi. Saya, Ainul, Nusaibah, Atiq, Lia, Amel dan Ikha yang kebetulan terlebih rajin terus mengemas bagasi kami untuk bertolak ke Wasuponda. Sebentar kemudian, bas dari Mangkutana tiba. Murali dan Chalik (diorang ni urusetia dari Mangkutana) sudah membantu kami mengangkut beg ke atas bas. Saya bersalam dulu dengan mak Aswadi serta mengucapkan terima kasih kepada ayahnya.
“Maaf ya kalo ada kekurangan sepanjang di sini,” ujar Aswadi kepadaku. Sebagai tuan rumah, dia tidak dapat meninggalkan tetamunya yang masih bersisa.
“Tidak, saya senang sekali selama di sini. Berat sekali hati mahu pergi,” saya meluahkan rasa hati. Sekilas saya memandang rumah yang berdiri teguh di hadapan saya. Rumah itu tidaklah mewah bagai istana, namun dihiasi penuh indah dengan budi dan kasih sayang. Sempat saya berkirim salam kepada abang dan adik Aswadi sebelum menghilang ke atas bas.
Perjalanan yang mengambil masa 2-3 jam ke Wasuponda penuh dengan liku-liku sehingga saya agak mabuk jalan. Sampai sahaja di Wasuponda pukul 10:30 malam, saya terbaring lesu, tiada tenaga. Mahu muntah pun ada. Tidak larat rasanya mahu mengikuti acara ramah tamah itu. Aisyah, Balqis dan Mahfuzah yang sememangnya bertugas di Wasuponda kemudiannya mengajakku bermalam di rumah seorang doktor tempatan di situ yang kebetulan rapat dengan mereka.
Disebabkan tempat tidur kami di dewan yang agak terbuka, saya pun bersetuju untuk pergi. Dengan pasrah sepenuhnya kepada Allah, kami mengangkut bagasi masuk ke dalam ambulans dan menuju rumah yang hanya 10 minit dari dewan Camat Wasuponda.
Rumah Dr Rosmini tidaklah terlalu besar, tapi cukup selesa. Layanannya mesra dan menyenangkan. Aih~~ termakan budi lagilah nampaknya. Kami berempat belajar sebentar sebelum tertidur lena.
_____________________________________________________________________
* Bahasa yang digunakan sudah diringkaskan dari loghat Makassar untuk senang difahami.
** Konflik sepanjang program sudah diringkaskan. Masih banyak masalah yang timbul namun berjaya diatasi.
Recent Comments