Posted by: halaa on: May 25, 2008
Pertemuan dan seminar yang diberikan oleh penulis terkenal Indonesia, Habiburrahman El-Shirazy pagi ini terasa bagai menyuntik semangat baru dalam diri. Beliau menerangkan secara mendalam dari sudut fokus penulis terhadap buku-buku karangan beliau seperti ‘Ayat-Ayat Cinta‘ dan ‘Ketika Cinta Bertasbih‘. Dari sebuah novel, berarak menjadi sebuah filem, nyata sekali berbeza dengan mesej dakwah asal yang cuba beliau sampaikan.
Namun, itu bukanlah isu tunggal yang beliau ungkitkan pagi tadi. Sempat juga beliau berkongsi ilmu fiqh dan hadith dalam penerangannya. Juga menjawab persoalan kami yang adakala tidak ada kena-mengena langsung dengan novelnya. Ada satu persoalan menarik yang kerap bermain di fikiran kami.
Kenapa watak-watak di dalam novelnya semuanya cantik dan kacak belaka? Novelnya seolah-olah menceritakan setiap manusia itu sempurna sifatnya. Walhal dunia ini tidaklah seindah ciptaan novel.
Dalam menjawab pertanyaan ini, beliau sempat menceritakan beberapa analogi yang menarik. Pertamanya beliau menyentuh kisah Laila Majnun. Kisah seorang pemuda yang memuja kecantikan seorang wanita yang disifatkan bagai rembulan. Seorang pemuda yang menjadi gila kerana mencintai seorang Laila. Pernah diceritakan dalam sajaknya, dia mencium dinding rumah Laila yang katanya bagaikan mencium tuan empunya rumah sendiri.
Saya mengangguk, belum cukup tertarik. Sejak kecil, saya merupakan seorang kanak-kanak yang berminat dengan seni sastera. Dalam umur yang cukup muda, saya sudah membaca antalogi sastera puisi, cerpen, hikayat, lagenda dan novel yang ketika itu langsung tidak menarik perhatian rakan seumur dan sebaya saya. Kisah Laila Majnun tidak terkecuali.
Pun begitu, Habiburrahman El-Shirazy menambah lagi, “Indahnya wajah Laila diceritakan bagai tiada tandingan. Sedangkan apabila ditanya hikayat Laila dari sejarawan, ternyata wajah Laila itu biasa sahaja“. Dengan kata lain, wajah Laila hanya indah di mata kekasihnya. Di akhir kata, Habiburrahman El-Shirazy menekankan betapa kecantikan itu bersifat subjektif.
Hmm… Saya mengangguk lagi. Saya fikir, alasan itu belum cukup kukuh baginya untuk menyifatkan watak novelnya dengan wajah yang tampan dan cantik. Sejujurnya saya belum berpuas hati.
“Pernah suatu ketika dahulu…” beliau menambah. Saya kembali memasang telinga. Rupanya, dia belum menghabiskan hujahnya.
Pernah suatu ketika dahulu, seorang amir berkata kepada isterinya, “Jika wajahmu tidak seindah bulan purnama, maka jatuhlah talak ke atasmu,”. Kisah ini berlaku pada zaman Imam Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi. Sang isteri yang mendengar lafaz talak itu sudah pasti ketakutan. Lalu dia mencari ahli sastera di kawasannya untuk menanyakan hal itu. Maklumlah, waktu itu belum ada teleskop, tiada orang yang tahu bulan tu berbenjol-benjol. Pastilah sinarnya sahaja yang memancar pada malam hari dari bumi kelihatan paling indah antara kejadian Allah yang lain. Dalam sastera manapun, bulan dan matahari sentiasa diagungkan. Mana mungkin manusia yang lemah mampu menandingi kehebatan dan kecantikan matahari dan bulan? Sang isteri yang kerisauan itu semakin tak senang duduk. Kalau begitu, sudah jatuhlah talak ke atas dirinya.
Setelah sekian lama terbeban dengan pemikiran ini, barulah sang isteri mengunjungi Imam Abu Hanifah untuk bertanya tentang hal ini. Biarlah ulama’ ini yang memutuskan nasib rumah tangganya. Setelah diceritakan kepada Imam Abu Hanifah, sang isteri sudah mempersiapkan diri menerima sebarang kemungkinan. “Adakah sudah jatuh talak kepadaku?“.
Lalu, Imam Abu Hanifah menjawab, “Oh, tidak. Kalau begitu lafaz cerainya, maka tidak jatuhlah talak ke atasmu,”.
Hmm… Menarik kan? Imam Abu Hanifah bagaikan mengakui kecantikan sang isteri itu melebihi keindahan bulan. Mengapa? Imam Abu Hanifah lalu menyatakan, “Kerana Allah sudah berfirman dalam kitabNYA,”.
“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian” -Surah At-Tiin (95): 4
Kalau Allah s.w.t sendiri sudah mengakui keindahan manusia, mana mungkin ciptaan lain seperti bulan mampu menandingi keindahan seorang manusia? Kecuali manusia yang direndahkan oleh Allah s.w.t sendiri.
“Kemudian Kami kembalikannya serendah-rendah orang yang rendah, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan (amal) yang soleh” -Surah At-Tiin (95): 5-6
Untuk seketika, saya bertasbih dalam hati. Perasaan kagum menyelubungi diri saya. Kagum terhadap kebesaran Allah s.w.t, kagum dengan ketinggian ilmu seorang guru yang duduk di hadapan saya saat itu. Terasa malu dengan diri sendiri. Saya berfikir, rasanya, sastera ini lebih menarik dari sastera keindahan bulan purnama. Kalaulah setiap insan berpegang teguh pada kesusasteraan yang diutarakan Habiburrahman El-Shirazy ini, pastilah setiap orang akan berusaha memperindah amalan dan keimanan. Agar dia berdiri sebagai makhluk paling cantik dari seluruh kejadian.
Note: Special thanks to my respectable teacher, Habiburrahman El-Shirazy and Aan Mansur for the great knowledge you gave us this morning. Syukran jazilan… Barakallahu fikum… amiin…
nak jumpe mereka juga!
hihi
salam perjuangan….
wah! second entry pasal bedah buku oleh kang abik!
terima kasih tasa perkongsian…
Waktu beliau ke Mesir saya tak berkesempatan bertemu beliau.. Sayangnya..
Kalau kita dah terpengaruhi barang sedikit pengaruh sastera karya Sang Maha Esa.. Tentunya memberi sentuhan yang amat berbeza dalam karya kita.. Entah dari segi bahasa mahupun dari segi filsafat dalam setiap sesuatunya..
May 27, 2008 at 8:20 pm
kalau saja kita tahu.. yang semua ciptaanNya adalah cantik belaka.. subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar.