Posted by: halaa on: April 24, 2008
“Ammar kata bagilah dia hadiah,” ummi saya berseloroh. Hari ini merupakan hari jadi adik bongsu saya yang ke-12. Hmm… Sudah 12 tahun ya. Terasa baru semalam dia lahir membawa keceriaan dalam keluarga kami. Tanpa sedar, dia sudah mahu menjejak ke alam remaja. Melalui satu zaman yang sudah saya tinggalkan.
Indahnya masa remaja dihiasi dengan makna yang terkumpul setiap saat yang dilalui. Membina peribadi yang lebih utuh demi membentuk individu yang unggul. Islam melihat remaja sebagai sebuah imej kepercayaan, kesucian, keberanian, kejujuran, ketabahan, kesopanan, kebaikan, dan altruisme. Bukan sedikit kisah remaja yang menjunjung syariat Islam. Betapa luasnya wilayah Islam untuk remaja dalam agama dan masyarakat.
Abu Qulabah meriwayatkan dari Malik menceritakan bahawa kami menziarahi Rasulullah s.a.w. Ketika itu kami masih muda dan kami tinggal bersama baginda selama dua puluh hari dan malam. Rasulullah s.a.w merupakan lelaki penuh dengan belas kasihan dan kebaikan. Apabila baginda merasakan kami ingin pulang kepada kaum kami, baginda bertanya tentang kaum kami. Lalu kami menceritakan (perihal kaum kami). Baginda bersabda: “Pergilah ke kaummu, tinggal bersama mereka, ajari mereka dan sampaikan ajaranku kepada mereka”. Baginda menyebut hal-hal yang aku ingat dan aku lupa. Sabda baginda lagi: “Solatlah sepertimana kamu melihatku solat. Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang dari kamu melaungkan azan dan mintalah yang lebih tua dari kamu mengimamkan solat.” (HR Bukhari, #595)
Rasulullah s.a.w menunjukkan sikap yang baik dan belas kasihan terhadap seluruh masyarakat, namun baginda sangat prihatin terhadap kanak-kanak dan remaja, ringkasnya pemuda. Baginda melayani mereka dengan penuh hormat dan memahami kehendak mereka. Baginda membina peribadi anak-anak muda dan menyediakan mereka dalam hal-hal rohaniah dan kepimpinan. Segalanya adalah supaya mereka mampu menjadi pelapis yang mendidik dan memimpin dunia menuju syariat-NYA.
Menyingkap imej anak muda dalam Islam yang sangat dinamik, positif dan aktif, tidak hairanlah jika ada yang mengatakan “Kalau mahu melihat masa depan sebuah masyarakat, lihatlah kepada pemuda-pemuda mereka“.
Suatu ketika dahulu, Nabi Ibrahim a.s disebut sebagai ‘anak muda‘ saat baginda mencari kebenaran Ilahi. Baginda menerima cahaya keimanan tanpa ragu-ragu, walaupun baginda terpaksa menempuh sebegitu banyak dugaan dan cabaran. Baginda begitu menghormati bapa baginda, tetapi dalam hal ketuhanan baginda tidak pernah berkompromi. Baginda sanggup meninggalkan rumah baginda, mengorbankan segala miliknya namun tidak pernah sekalipun melepaskan keesaan tauhid yang dipegangnya.
Diteruskan pula oleh anak baginda Nabi Ismail a.s yang juga merupakan anak muda yang setia. Setiap Muslim juga tahu kisah baginda yang merelakan dirinya dijadikan korban atas arahan Allah tanpa sedikitpun keraguan. Mana lagi mahu dicari anak muda yang menjawab dengan tenang terhadap satu permintaan nyawa oleh sang bapa, QS 37: 102. Satu contoh ketaatan dan pengabdian diri kepada Allah yang luar biasa. Lalu kemudiannya anak muda ini jugalah yang membantu bapanya membina Baitullah.
Satu lagi contoh anak muda dalam Al-Quran, kisah Nabi Yusuf a.s yang sangat rupawan dan hidup dikelilingi kemewahan. Baginda diuji dengan godaan namun baginda menjaga diri dan iman. Baginda lebih rela menghabiskan masa remajanya di penjara daripada tunduk kepada keinginan syaitan. Sebagaimana doa baginda dalam QS 12:33, sungguh baginda merupakan anak muda yang suci.
Nabi Yahya a.s juga merupakan hamba Allah yang wara’ dan baik sejak usia baginda masih terlalu muda. Selain sikap baginda yang cukup menghormati ibu bapanya, baginda sudah menjalankan dakwah sejak kecil dan wafat kerananya, subhanallah…
Al-Quran juga mengisahkan tentang Ashabul Kahfi dalam QS 18:13-14. Mereka bukanlah Nabi mahupun Rasul, namun mereka merupakan anak muda yang meletakkan sepenuh pengharapan kepada Allah. Mereka menolak segala bentuk penekanan dari pemerintah zalim yang mahu memalingkan mereka dari kebenaran aqidah Yang Esa.
Antara para sahabat Rasulullah s.a.w, sederet contoh semangat dan kontribusi anak muda yang tak mampu lagi disenaraikan satu per satu. Saidina Ali, Fatimah, Asma’, ‘Aishah, Abdullah ibn Umar, Abdullah ibn Abbas, Talhah, Zubair, dan ramai lagi yang menerima Islam dalam usia sangat muda dan memberi sumbangan besar dalam sejarah Islam.
Ammar ibn Yasir juga merupakan contoh anak muda yang mendapat hidayah dan memperjuangkan kalimah Allah dalam kepayahan di bumi Mekkah. Anak muda yang begitu teguh diseksa demi memelihara iman di dada. Nama yang seharum perjuangannya, mengiringi kewafatan hingga ke hari ini.
Buat adikku, Ammar dan semua pemuda, Islam memandang remaja sebagai lambang kepercayaan, kesucian, ketabahan, kejujuran, kesopanan, kebaikan, kegagahan dan altruisme. Maka laluilah hidupmu dengan menjunjung kalimah Allah. Lalu jadikan masa depan dunia cerah dengan cahaya Ilahi. Mencontohi warisan perjuangan yang ditinggalkan, menggalas kewajipan di bahumu. Ketahuilah, kebangkitkan Islam bergantung kepada keimanan, ilmu dan semangat mudamu yang membara.
“Ya Allah, lindungilah agama ini dan perbaikilah syabab kami. Jadikanlah mereka anak-anak muda yang beriman kepadaMU, dan tambahkanlah dalam hati mereka hidayahMU“
Selamat hari lahir, Ammar. Jadilah anak yang tabah, taat dan teguh dengan keimanan, selayaknya seorang Ammar~~
subhanallah!meremang bulu roma sya bace
nice entry
keep writing ukhti
halaa..em..comey sgt..
awak tahu.. i juz posted an article..almost abt syabab(but not this long of course)
::telepathy::
hua hua..perasan
hehe..it makes me >excited to meet u very soon
April 29, 2008 at 1:28 pm
happy birthday to Ammar~bday adik ateh pon da dekat dah kak..gadis 12 tahun bername Syaimaa’..ape lagi kak..plan kite..ehe