Lilin Seorang Guru

sekolahku, syurgaku...

Entah mengapa beberapa hari ini minda saya asyik menerawang ke masa lalu. Masa-masa berada di MMP, masa-masa di SIAB, malah tahun-tahun pertama hidup saya di West Yorkshire. Rindunya pada masa lalu, telatah saya dan rakan-rakan yang kadang-kala mencuit hati. Kalau direnung kembali, saya yang sekarang sudah terlalu jauh berbeza dengan diri saya sewaktu masih menakuk ilmu di MMP. Saya sendiri dapat merasakan perubahan itu.

Saya masih ingat figur yang membentuk asas aqidah diri. Muallimah Sofia, Muallimah Syazmi, Muallimah Faridah, Muallimah Laila, Muallim Zul, Muallim Saudi, dll tak tersebut semuanya. Tidak pernah saya melupakan guru-guru sekolah rendah saya. Suatu ketika dahulu merekalah idola yang saya agungkan, seolah-olah merekalah yang serba tahu. Kelembutan dan kesabaran mereka melayani kami dulu memang mengagumkan. Saya fikir, kalau anda turut bersekolah bersama saya, pasti anda juga tersenyum memikirkan kenakalan kita semua waktu itu.

Suatu ketika saya buta huruf, merekalah yang sabar mengajar huruf satu-persatu. Memantapkan kira-kira, melancarkan bahasa. Sedaya mungkin menerapkan unsur mahmudah. Sehingga sekarang pun, saya masih rasa guru-guru sekolah rendah saya adalah sosok yang terbaik menonjolkan sifat mukmin yang sebenar. Tidak keterlaluan kalau diungkapkan, seumur hidup tidak pernah saya menemui guru-guru seperti di SIAB. Teringat pula angan-angan mahu jadi seperti muallimah, siapa sangka rupanya saya bakal mengikut jejak Dr Azhar (terima kasih, Pakcik Azhar…).

Mengorek perigi ilmu di MMP terasa begitu lama sekali, seolah-olah tidak pernah selesai. Ilmu di bumi Maahad tak terkira banyaknya, kami sahaja yang kurang menghargai. Pernah hampir-hampir saya meninggalkan bumi Maahad ketika Tingkatan 4. Alhamdulillah, Allah s.w.t menggerakkan hati saya untuk terus menetap di Kelantan. Siapa sangka, dua tahun terakhir di Maahad merupakan saat-saat ‘top-up’ ilmu yang paling optimal bagi saya.

Seiring bertambahnya usia, tanpa saya sedari saya sudah menggunakan seluruh ilmu yang diberikan. Malah menulis entry kali ini juga merupakan hasil jasa seorang guru. Wajah bersih para guru menyimbah memori yang hampir berkarat. Pernah adik saya yang masih bersekolah rendah menolak kata-kata ummi kerana gurunya berpendapat lain. Wah, kuat juga pengaruh guru. Sampai kata-kata ummi pun dikatakan salah. Ummi saya turut tertawa melihat gelagat anaknya itu.

Merenung kembali diri saya saat ini, dari seorang bayi yang tidak tahu apa-apa, saya membesar dengan tunjuk ajar para pendidik. Bukan sahaja guru rasmi di sekolah, malah keluarga dan sahabat-sahabat yang berkongsi ilmu, ideologi dan pemahaman. Hasil didikan dan suasana kondusif itulah yang membentuk diri saya yang sekarang. Tidak terhitung ramainya yang memberi ilmu, sehingga mungkin sahaja secara tidak langsung saya menerima ilmu dari orang yang tidak pernah saya kenali.

Betapa mulianya darjat seorang guru sehingga Rasulullah s.a.w memberi penghormatan yang tinggi biarpun guru itu bukan di kalangan ummat Islam. Biarpun ilmu yang diajarkan hanya secubit dan tidak sepenting mana. Walhal saya jarang-jarang sekali bertanya khabar, apatah lagi menjenguk mereka. Sejenak saya terfikir, kalaulah saya seorang guru, apa perasaan saya? Hati ini diruntun sayu. Bukan sedikit jasa dan pengorbanan dicurahkan. Bukan sedikit kesabaran dan ketekunan diperlukan.

“Ya Allah, sembunyikanlah keaiban guruku, berkatilah ilmu mereka terhadapku dan tinggikanlah darjat mereka di sisiMu” -Imam Al-Ghazali

Rasanya, saya jarang menzahirkan rasa terima kasih saya. Namun ketahuilah, saya amat berterima kasih, dan amat menyayangi guru-guruku. Semarak rasa kagum dalam hati tidak pernah sedikitpun pudar. Terima kasih buat semua, siapa pun diri anda. Kerana saya yakin setiap orang yang hadir dalam hidup saya sudah meninggalkan paling kurang secebis ilmu yang tak ternilai harganya. Tanpa anda, siapalah saya…

“Ya Allah, sempurnakanlah hidup guru-guruku sebagaimana mereka menyempurnakan hidupku. Kurniakanlah mereka kebahagiaan dan kejayaan, lalu buatlah mereka tersenyum hingga ke syurgaMu, amiin”

Buat sahabat-sahabat yang bakal bergelar guru, jadilah satu sosok agung yang dapat dicontohi bakal anak-anak murid anda. Sedar ataupun tidak, gurulah idola yang bakal mencorakkan peribadi generasi akan datang. Good luck! ;)

2 responses to this post.

  1. Posted by ipemmakassar on April 15, 2008 at 11:09 pm

    u r my teacher too! thx to u! ;)

    Reply

  2. hehe… kelakar sungguh tau iman guna ID IPEM… mcm komen formal jer… tp utk iman n my other usrah mates kene bagi special thanks. sbb time bersama korg la ilmu meningkat hyperexponential… hehe… jkkk ya ukht! sayang korang sangat~~

    Reply

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.